Saturday, June 29, 2013

Santai : Re-frasa Revolusi


Salam.

Apa itu revolusi?

Revolusi itu kalau kita sesuaikan dengan keadaan dunia zaman sekarang yang penuh cabaran; ialah, suatu perubahan pantas dan dilihat sebagai efektif dalam apa jua lapangan (bidang) sehingga suatu revolusi itu menjadi ingatan atau terpahat dalam sejarah. Revolusi juga dilihat bakal menghasilkan keadaan dan masyarakat yang sangat berbeza dari sebelumnya. Kebiasaannya bila disebut revolusi, pasti ramai yang memikirkan revolusi politik (seperti berlakunya tunjuk perasaan, ptotes jalanan, himpunan, demonstrasi dan sebagainya). Walhal revolusi itu boleh berlaku dalam apa saja lapangan atau bidang seperti revolusi industri dalam bidang ekonomi dan revolusi sains dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Misalnya revolusi industri di Inggeris yang memakan masa puluhan tahun, namun dianggap 'cepat' kerana mampu mengubah sendi-sendi pokok kehidupan masyarakat-seperti sistem kekeluargaan dan hubungan antara buruh dan majikan-yang telah berlangsung selama beratus-ratus tahun.”

Tujuan dan Faktor Revolusi


Lazimnya suatu revolusi bertujuan untuk memperbaiki keadaan masyarakat yang tidak adil.

Seperti di Perancis, golongan kelas menengah (middle-class) dalam parlimen, menuntut supaya mereka diberi hak mengundi sepertimana kelas paderi dan kelas bangsawan. Mereka juga menuntut supaya cukai golongan petani dan pekerja diturunkan dan pada masa yang sama bangsawan dan paderi yang tiada dikenakan cukai langsung, hendaklah dikenakan cukai kepada mereka semua. Namun, tercetusnya revolusi Perancis ini apabila tuntutan-tuntutan ini dihalang oleh kelas atasan dan tidak dapat diteruskan melalui proses perlembagaan.

Begitu juga di Rusia, tuntutan demi tuntutan dari pemimpin rakyat telah ditolak (walaupun tuntutan itu berasaskan hak yang sah), pemimpin rakyat ini kebanyakan telah dipenjarakan atau dibuang ke Siberia. Sehinggalah apabila cadangan dari para menteri yang dikatakan ‘cadangan membina’ itu diketepikan oleh pihak pemerintah, maka meletuslah revolusi.


Demikianlah, apabila saluran biasa tertutup atau tidak diendahkan atau tidak diuruskan dengan baik kepada rakyat, maka untuk membaiki nasib mereka, jalan terakhir ialah pemberontakan revolusioner. Sebaliknya jika cara perlembagaan masih dapat digunakan, kekerasan dapat dielak, kerana rakyat umumnya tidak suka revolusi yang biasanya mengakibatkan banyak yang terkorban, sedangkan hasilnya belum pasti dapat dicapai.

Untuk mencetuskan revolusi, perlunya kesedaran dari kalangan rakyat itu sendiri. Kebiasaannya, golongan atau kelompok yang menimbulkan kesedaran rakyat ialah para intelek. Para intelek ini akan memaparkan segala pemerasan, penindasan dan kepincangan yang berlaku dalam rejim pemerintah sedia ada. Para intelek ini akan mengkritik secara bijaksana pada mulanya dan kemudian memberi alasan mengapa hal ini wajib dan boleh ditentang. Pada masa yang sama para intelek ini akan mempersendakan rejim pemerintah dan menghasut  serta memberi harapan akan lahirnya dunia baru juga menanamkan semangat percaya pada diri sendiri dalam kalangan rakyat.


Menurut Shariati, “dalam zaman kejahilan, kesedaran itu sendiri adalah jenayah.” (For in an age of ignorance, awareness is itself a crime)

*Shariati merupakan pencetus penting yang menggerakkan revolusi rakyat menentang regim despotik Reza Shah. Malahan beliau dianggap sebagai arkitek Revolusi Islam Iran.



Contoh lain, seperti J.J Rousseau dalam bukunya The Social Contract (Persetujuan Masyarakat) 1862, mengemukakan alasan bahawa persamaan dan kebebasan adalah hak asasi manusia. Voltaire (1694-1778) juga mempersenda golongan paderi dan bangsawan yang akhirnya meletuskan revolusi Perancis.

“Revolusi umumnya mensyaratkan hadirnya seorang pemimpin kharismatik, dipandu sebuah parti pelopor (avant grade), adanya sebuah elemen ideologi. Dalam Revolusi Rusia, misalnya, Lenin dan tokoh puncak Parti Komunis mampu menjadi pemimpin yang berkarisma. Revolusi lain yang mengedepankan seorang tokoh, misalnya Fidel Castro di Cuba, Che Guevara di Amerika Selatan,  Mao Tse-Tung di Republik Rakyat China, Ho Chi Minh di Vietnam,  Ayatullah Khomeini di Iran, Corazon Aquino di Filipina ketika Revolusi EDSA, dan lain-lain.”

“Berlakunya pertempuran sengit, pembunuhan kejam, pertentangan ayah dan anak, ibu yang menangis kerana anaknya terkorban, isteri yang menitiskan air mata kerana kehilangan suami! Golongan pembesar yang terhormat menjadi kecil dan hina!”. Para penentang revolusi pasti mengatakan ini “jenayah kejam!” namun sebaliknya para pendukung revolusi akan mengatakan “pengorbanan suci dan agung!”. Olehan demikian, di manakah letaknya kebenaran?


"The revolution is not an apple that falls when it ripes, you have to make it fall."
- Che Guevara


rujukan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Revolution
http://id.wikipedia.org/wiki/Revolusi
http://www.al-ahkam.net/home/content/ali-shariati-dan-idealisme-perjuangannya
http://www.brainyquote.com/quotes/keywords/revolution.html

No comments:

Post a Comment